|
Apa itu
venografi?
Venografi ialah ujian radiologi untuk vena dengan menggunakan X-ray selepas
suntikan medium kontras ke dalam vena melalui jarum atau kateter. Venografi
boleh dikira sebagai satu prosedur invasi untuk “melihat” saluran darah vena.
Kenapa saya memerlukan venogram?
Prosedur ini diperlukan apabila vena perlu ditunjukkan secara jelas atau
apabila kaedah-kaedah lain tidak berjaya dilaksanakan. Venografi boleh
dilaksanakan untuk menunjukkan vena pada anggota badan di bahagian bawah, atas,
pada kepala dan vena yang lebih besar dalam dada atau di dalam abdomen.
Venografi biasanya dijalankan untuk menunjukkan vena di anggota
badan di bahagian kaki untuk mencari bekuan darah di dalamnya dan untuk
‘melihat’ vena ini sebelum pembedahan atau rawatan. Venografi juga penting
untuk menilai vena varikos dan juga sebarang keganjilan tentang vena.
Apakah persediaan yang diperlukan untuk venogram?
Pesakit mungkin perlu berpuasa untuk 6 jam sebelum pemeriksaan. Venografi pada
kepala atau organ-organ dalam abdomen akan memerlukan anda berada di hospital
selama sehari, disebabkan pemeriksaan ini lebih memerlukan kebolehan teknikal.
Tiada ubat bius atau rawatan ubat pelali disebabkan pemeriksaan tidak menyakiti
pesakit, tetapi kerjasama pesakit diperlukan dalam keseluruhan pemeriksaan ini.
Pesakit perlu bersetuju sebelum pemeriksaan dijalankan.
Apa akan dilakukan semasa venografi?
Pesakit perlu berbaring di atas meja X-ray semasa fluoroskopi dan ini mungkin
dijalankan di dalam bilik angiografi . Jarum atau kateter akan diselitkan ke
dalam vena melalui kulit pesakit. Tempat kulit ditebuk (cannulation) bergantung
kepada vena yang perlu diperhatikan. Medium kontras akan disuntikkan ke dalam
jarum atau keteter dan imej X-ray akan diambil di lokasi vena tersebut. Selepas
itu, Pakar Radiologi yang bertugas akan menilai imej-imej yang diambil.
Adakah risiko terdapat dalam ujian venografi?
Risiko di dalam venografi adalah minimum. Terdapat rasa kehangatan apabila
medium kontras disuntik ke dalam vena, tetapi ini biasanya tidak kekal dan akan
hilang dalam beberapa saat. Tiadanya kesan sampingan jangka masa panjang dengan
pemeriksaan ini. Untuk punktur yang melibatkan groin, rehat dalam katil di
galakkan untuk memastikan pendarahan yang berpanjangan tidak berlaku. Pesakit
yang mempunyai asma atau lelah dan alahan yang lain patut memberitahu doktor.
Contohnya, pesakit yang memerlukan venogram pada kakinya dan didapati mengalami
jangkitan dalam bahagian kakinya patut dirawat dahulu sebelum ujian venogram.
|