Kempen Kesedaran Kesihatan Payudara Menarik Penyertaan 400 Peserta di Sandakan, Sabah – 22 Apr 2006 Oleh Mary Alex Mansiw dan Joseph Tek Kanser payudara adalah jenis penyakit kanser yang paling kerap di kalangan wanita Malaysia. Dari setiap 100 wanita yang menghidap barah, 31 daripadanya adalah terdiri daripada pesakit barah payudara. Pada masa ini, ketakutan dan kejahilan tentang kanser payudara masih menghantui rakyat Malaysia. Malangnya, salah satu keburukan mengenai kanser payudara ialah bahawa hanya sedikit sahaja yang dapat dilakukan untuk menghindarinya. Peluang untuk memulihkan kanser payudara adalah dengan merawatnya di peringkat awal dan oleh itu kunci melalui pengesanan AWAL adalah amat penting.
Sehubungan dengan itu, pihak Hospital Duchess of Kent dan IJM Plantations Berhad telah menganjurkan satu forum masyarakat bertajuk “Kesihatan Payudara” pada pagi Sabtu, 22 April 2006 di Sandakan, Sabah. Lebih daripada 400 peserta telah menyertai forum tersebut. Objektif forum tersebut adalah untuk meningkatkan kesedaran umum terhadap kesihatan payudara dengan memberi penekanan kepada para peserta mempelajari teknik pengesanan awal melalui Pemeriksaan Payudara Sendiri (PSP) dan juga menekankan kepentingan mammogram. Forum ini merupakan usaha berterusan oleh pihak hospital untuk meningkatkan tahap kesedaran umum mengenai kanser payudara manakala IJM Plantations Berhad menunaikan tanggungjawabnya selaku warga korporat penyayang melalui sumbangan kepada masyarakat tempatan di Sandakan. Tiga ceramah dan amali PSP telah diadakan. Ceramah telah disampaikan dalam bahasa Inggeris dan Malaysia, sementara demonstrasi amali PSP pula telah dilakukan dalam 3 bahasa – Bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin.
Forum tersebut bermula dengan ucapan alu-aluan oleh Dr Zorina Khalid, Pengarah Hospital Duchess of Kent. Seterusnya, penceramah pertama, Dr Azlina Firzah Abdul Aziz, seorang pakar bedah daripada Hospital Selayang menghuraikan satu pengenalan umum kepada kanser payudara. Menurutnya, kanser payudara adalah penyakit barah paling kerap dihidapi di kalangan wanita Malaysia. Nisbah kes-kes barah payudara di kalangan kaum Cina adalah lebih tinggi (1 dalam 14) berbanding kaum India (1 dalam 15) dan kaum Melayu (1 dalam 24). Berlawanan dengan pemikiran umum, lelaki juga boleh menghidap barah payudara. Meskipun begitu, situasi terperinci barah payudara di Malaysia Timur termasuk Sabah sehingga kini masih belum dipastikan.
Penceramah kedua, Dr Kalanithi Nesaratnam adalah seorang penyelidik kanan dengan Lembaga Penyelidikan Minyak Kelapa Sawit (MPOB). Beliau menyediakan laporan terkini tentang penyelidikannya yang sedang dijalankan ke atas Vitamin E minyak sawit (tocotrienols) dan kaitannya dengan bahan baka di dalam kanser payudara manusia. Secara ringkasnya, pengambilan minyak sawit adalah baik untuk kesihatan dan juga dapat menyokong industri minyak sawit tempatan – khususnya Sandakan sendiri menghasilkan 8% daripada pengeluaran minyak sawit dunia.
Penceramah terakhir, Puan Mary Alex Mansiw – Tek, seorang penceramah yang sedang bercuti daripada Universiti Teknologi MARA telah menunjukkan teknik yang betul untuk melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) dan telah memberi penekanan tentang kepentingan pemeriksaan mamogram tahunan. Teknik tersebut dipanggil “Lihat dan Periksa” digalakkan untuk dilakukan sebulan sekali. Puan Mary, seorang juru radiografi merupakan seorang perintis kepada usaha menjalankan program kesedaran kesihatan payudara di Sandakan.
Kolej Radiologi Akademi Perubatan Malaysia dan Persatuan Kebajikan Kanser Payudara berasa gembira dapat membantu Sandakan dalam usaha meningkatkan kesedaran kesihatan payudara memandangkan bahawa kesedaran umum masih di tahap yang rendah di Malaysia Timur.
Sebelum penganjuran forum di atas, satu bengkel kesihatan payudara telah dianjurkan di hospital Duchess of Kent pada 6 April 2006 dengan sokongan IJM Plantations Berhad untuk manfaat sebilangan peserta sebagai program “latih pelatih”. |
 | Peserta Bengkel ”Latih Pelatih” 6 April 2006 |
Sebagai langkah untuk mempromosi kesedaran yang lebih mengalakkan mengenai kesihatan payudara di Sabah, sebuah jawatankuasa kesedaran barah payudara di bawah naungan Hospital Duchess of Kent akan ditubuhkan di Sandakan. Jawatankuasa ini akan memerintis dan mengetuai pelbagai inisiatif yang merangkumi latihan, kesedaran awam, program-program luar jangkauan di luar Sandakan dan juga projek mendapatkan sumbangan dan peruntukan ke arah mencapai matlamat murni mereka. Sokongan daripada orang awam dan sektor swasta dialu-alukan.
Untuk maklumat mengenai Inisiatif Kesihatan Payudara Sandakan: Sister Biyanah Marcus - Tel: 088-212111 ext 5255 |