Apa yang berlaku sewaktu mamografi?
Tahukah anda apakah itu mamografi? Ianya adalah proses pengimejan x-ray payudara. Dan anda juga pastinya sudah mendengar satu lagi istilah yang dikaitkan dengan mamografi iaitu mamogram. Apakah pula mamogram itu? Mamogram sebenarnya adalah filem imej x-ray tersebut. Untuk melaksanakan kaedah pengimejan/imbasan ini, sebuah peranti yang dipanggil sebagai mesin mamografi digunakan. Perhatikan gambar-gambar yang memaparkan mesin tersebut. Inilah mesin-mesin yang lazimnya anda akan jumpa apabila bertandang untuk menjalani penyaringan mamografi. Di Malaysia, tugas melakukan mamografi dikendalikan serta diseliakan oleh juruxray mamografi wanita yang terlatih. Kaedah serta prosedur yang dilakukan sewaktu menjalani pemeriksaan mamografi adalah mudah. Pertamanya, anda akan menanggal pakaian daripada paras pinggang ke atas. Ini adalah untuk membolehkan tugas pemeriksaan kepada bahagian payudara anda. Imbasan untuk tujuan penyaringan ini kebiasaannya akan diambil daripada dua arah. Kedua arah imbasan yang akan dilakukan ialah dari bahagian atas dan sisi yakni tepi. Seterusnya anda akan diposisikan oleh pengendali mamografi pada kedudukan yang sesuai serta selesa untuk menjalani imbasan penyaringan tersebut.
Kemudiannya bahagian payudara anda akan ditekan untuk memperolehi kemampatan, tujuannya adalah untuk meratakan tisu secara saksama. Ini adalah untuk memudahkan lagi proses mengenal pasti sebarang keluarbiasaan dengan tahap pancaran radiasi yang rendah. Sewaktu melaksanakan tugasan ini, pengendali serta penyelia wanita yang bertugas akan melakukannya dengan cermat serta berhati-hati. Mereka sebolehnya akan berusaha untuk memastikan anda tidak mengalami rasa ketidakselesaan sewaktu menjalani proses saringan mamografi ini. Untuk memperolehi tahap kualiti penyaringan yang tinggi, keperluan untuk menghasilkan kedudukan payudara secara mampat serta serata adalah penting. Anda tidaklah perlu merasa cemas atau bimbang tentang situasi ini. Ini boleh menyebabkan anda merasakan tidak berapa selesa tetapi tempoh perlaksanaan pemampatan ini adalah sekejap sahaja. Sekiranya mesin penyaring adalah daripada jenis yang moden serta mutakhir, kedudukan payudara anda yang mampat serta tertekan akan dilepas sebaik sahaja imbasan disempurnakan. Sewaktu imbasan mammografi diambil, penyelia akan sentiasa ada bersama anda dan tidak memerlukan mereka untuk berada di luar bilik. Malah, merekalah yang akan mengendalikan mesin tersebut iaitu menekan kekunci mesin mamografi untuk mengambil imbasan.
Hampir kebanyakan wanita seringkali diganggu oleh salah faham mengenai istilah kesakitan sewaktu payudara itu ditekan serta dimampatkan. Istilah yang lebih tepat untuk diguna sewaktu payudara dimampat adalah rasa ketidakselesaan. Namun, ianya adalah sesuatu yang subjektif dan setiap individu mempunyai persepsi yang berbeza mengenai pengalaman tersebut. Namun, untuk memastikan anda menjalani penyaringan tersebut dalam situasi yang selesa, anda haruslah berhubung serta berkomunikasi secara dua hala dengan pengendali mamografi untuk membolehkan mereka menyesuaikan pengimbasan tersebut mengikut keadaan serta keperluan diri anda ketika itu.
Ini adalah amat penting untuk memastikan anda menjalani proses penyaringan dengan sebaik mungkin. Pandangan yang positif akan menghasilkan pemeriksaan yang lebih senang dilalui. Ingat, penyaringan mamografi ini berupaya untuk menyelamatkan nyawa anda. Jika diambil kira manfaatnya, apalah sangat “kesakitan” payudara termampat yang tidak sampai beberapa saat itu! Sekiranya anda mengalami haid, maka eloklah jika anda menjadualkan semula tarikh penyaringan mamografi untuk dilakukan selepas haid kering. Ini adalah untuk mengelak rasa ketidakselesaan pada payudara anda. Untuk membaca pengalaman wanita yang sudah pun menjalani penimbasan/penyaringan mamografi, klikkan di sini. |