Apakah perbezaan di antara mamografi diagnostik dan mamografi “saringan” (Pengimbasan)? Perbezaan di antara mamogram diagnostik dan saringan haruslah dikenal pasti terlebih dahulu oleh para pesakit serta pengamal perubatan yang menjalankan rawatan ke atas mereka. Ini adalah kerana individu wanita yang simtomatik atau mempunyai risiko tinggi memerlukan kaedah kaji siasat yang berbeza berbanding dengan individu wanita yang menjalani pemeriksaan mamogram secara saringan. Biarpun tidak ada waktu-waktu yang spesifik untuk menjalani mamografi terutamnya jika simptom yakni petanda-petanda klinikal sudah mula kelihatan (iaitu sewaktu penghidap menunjukkan tanda-tanda seperti ketulan, kulit yang menebal, kesan lesung pada kulit). Situasi sebegini memerlukan mamogram diagnostik yang haruslah dilakukan secepat mungkin. Lebih-lebih lagi jika penghidap disyaki menghadapi kanser, maka adalah lebih elok untuk menjalani pemeriksaan secepat mungkin. Mamografi saringan ataupun pengimbasan mamografi adalah untuk individu wanita yang tidak menunjukan petanda yakni simtom yang jelas akan penghidapan penyakit tersebut. Secara lazimnya, sebanyak 4 paparan imbasan akan dilakukan terhadap payudara individu yang menjalani imbasan tersebut. Namun, untuk mendapat kepuasan serta kepastian, ada waktunya beberapa kaedah tambahan akan diguna pakai dalam menjejaki sebarang petanda yang abnormal. Sekiranya kaedah pengimbasan secara menyeluruh perlu dilakukan, maka aspek samada ianya perlu ataupun berbaloi dari segi kos selalunya mendapat perhatian. Namun, untuk mereka yang berumur melebih 50 tahun ataupun diantara 40-49 tahun, ianya dianggap berbaloi serta aspek kos tidak dijadikan sandaran. Namun, isu ini masih terus menjadi kontroversi serta akan dibincangkan secara lanjut dalan bahagian bertajuk Perdebatan Mamografi. Pengimbasan secara rutin untuk wanita berusia kurang daripada 40 tahun tidak disyorkan secara amnya kerana kepadatan tisu kelenjar payudara yang lebih tinggi pada lingkungan usia ini berkemungkinan akan menghalang paparan ketumbuhan (yakni tidak dapat dilihat) dan tisu aktif pada payudara berkemungkinan sensitif terhadap kesan sinaran radiasi. Biarpun tidak ada penetapan tahap usia tertinggi untuk menjalani pengimbasan mamografi, namun sesuatu yang harus diingat ialah risiko penghidapan kanser payudara akan meningkat dengan peningkatan usia. |