Kesihatan Payudara Adalah Dalam Pengawalan Anda! Membuat keputusan adalah perkara intipati dalam kehidupan kita. Seseorang individu akan membuat keputusan serta pilihan dengan mengambil kira hasil yang terbaik buat empunya diri. Namun, dalam membuat keputusan yang bukan sahaja betul mengikut nyala rasa dan gerak hati tetapi juga fakta, pendapat para pakar serta kaedah perubatan mutakhir harus diambil kira. Di sinilah, kita bukan sahaja berupaya untuk membuat keputusan yang betul tetapi juga paling wajar buat diri kita. Penjagaan kesihatan payudara haruslah menjadi tabiat secara berterusan, biarpun, majoriti daripada kes ketumbuhan serta ketulan tidak memudaratkan nyawa seseorang itu. Mengambil langkah berjaga serta sentiasa berwaspada adalah langkah yang amat perlu diambil. Dalam masa yang sama, kewaspadaan yang teramat jua bukanlah sesuatu yang sihat serta baik. Kita haruslah berupaya untuk mengimbanginya. Sesuatu yang menyedihkan serta sukar diterima oleh kita ialah tidak terdapatnya sesuatu kaedah yang khusus untuk mencegah barah payudara. Hampir kebanyakan daripada faktor risikonya tidak dapat dijangka apatah lagi dikawal. Ini lebih ketara dan jelas dalam kes barah berasaskan kepada faktor genetik seperti barah pre-menoposal. Memperbaiki cara kehidupan seharian adalah langkah bijak kepada kesihatan diri yang lebih baik. Bukan setakat penyakit barah sahaja, malah penyakit-penyakit lain seperti diabetis, sakit jantung serta penyakit kronik juga dapat dihindarkan. Cara terbaik untuk menyembuhkan penyakit barah payudara ialah mendapatkan rawatan pada peringkat awalnya. Sesuatu yang harus direnungkan oleh kita ialah ketakutan semata-mata pada penyakit tersebut tidak akan membiarkan ia berlalu pergi. Bagi wanita yang berusia empat puluhan ke atas, menjalan ujian payudara secara sendiri tidaklah memadai. Pastikan juga anda menjalani penyaringan mamografi secara kerap serta melalui pemeriksaan secara klinikal oleh para pakar perubatan. Ingat! Penyakit barah payudara dapat disembuhkan sekiranya rawatan pada peringkat awal diperolehi. Anda boleh menjalani kehidupan anda seperti sedia kala. |