Breast Facts B. Malaysia BCWA Info MBCC Forums Q & A Archive Downloads Links Feedback Search For...

Home Latest News CoR MP About Us Contact Us Terms of Use Radiology Malaysia

Rawatan


Dikemaskini 01/04/2008

Artikel diseksyen Ini

 

Maklumat Kanser
Pengesanan Awal
PSP
Rawatan
Penjagaan Semasa
Dibawah 35 Tahun
Mamografi
Ketulan Tak Bahaya
Ceritaku
Arkib

 

Mengenali Pembinaan Semula Payudara

Kemungkinan pembinaan semula payudara (breast reconstruction) patut didendangkan kepada para pesakit sekiranya mereka terpaksa menjalani pembedahan untuk membuangkan keseluruhan ataupun sebahagian besar bahagian payudaranya.  Aspek pembinaan semula payudara selalunya dipertimbangkan setelah pelan pembedahan serta rawatan terapi “adjunct” seperti kemoterapi serta radiasi telah dibincangkan. 

Mengambil langkah membina semula payudara pastinya merupakan langkah terbaik serta anugerah kepada mereka yang terpaksa mengorbankan payudara mereka.  Ia memulihkan tahap keyakinan, harga diri serta rasa kewanitaan mereka. Tidak syak lagi, ia sebenarnya mengembalikan mereka kepada dunia asal mereka di dalam masa yang lebih singkat.
 

Bagaimana berbezanya pembinaan semula payudara dengan pembedahan kosmetik?

Untuk menjawap soalan ini, eloklah terlebih dahulu kita memahami apakah yang dimaksudkan dengan pembedahan bina semula.  Pembedahan ini dilakukan untuk membina serta membaik pulih struktur badan seseorang yang tidak sempurna. Ketidak sempurnaan ini mungkin berpunca daripada kecacatan sejak lahir, pembesaran yang tidak normal, kecederaan serta trauma, jangkitan penyakit, ketumbuhan ataupun akibat daripada serangan penyakit. 

Dalam situasi sedemikian, pembedahan bina semula ataupun membaik pulih dilakukan untuk memperbaiki kefungsian organ tersebut, disamping itu ianya turut memberikan tumpuan kepada aspek memulihkan sesebuah organ kepada rupa bentuknya yang lazim.  Ataupun sekurang-kurangnya mencuba untuk menyerupai keadaan semulajadi organ tersebut. 

Apabila memperkatakan mengenai pembinaan serta membaik pulih payudara sesudah menjalani rawatan mastektomi, tujuan serta matlamat melakukannya adalah untuk memulihkan rupa bentuk payudara tersebut kepada keadaan semulajadinya ataupun asalnya. 

Pembedahan kosmetik pula bertujuan untuk memperbaiki bentuk struktur badan yang normal untuk meninggikan tahap keyakinan dan harga diri. 

Sesuatu yang harus kita akui ialah bahawa tiada pembedahan yang berupaya untuk menghasilkan satu hasil kesempurnaan.  Namun, dengan kepakaran moden serta teknologi mutakhir yang wujud hari ini, apa yang dianggap mustahil sedekad yang lalu mampu dilaksanakan hari ini. 

Walaupun pembedahan pembinaan semula boleh dilakukan sekaligus di dalam satu proses pembedahan, ada juga yang terpaksa melalui beberapa peringkat pembedahan. Ini bergantung kepada teknik pembedahan pembinaan semula yang digunakan.

Dalam menjalani rawatan membaik pulih ataupun pembinaan semula payudara, ramuan serta unsur yang digunakan adalah daripada kulit serta bahagian lemak seseorang pesakit itu sendiri.  Antara bahagian yang lazim digunakan ialah bahagian bawah abdomen, bahagian belakang, tepi peha serta punggung. Namun, kesemua ini bergantung kepada nasihat pakar bedah plastik/pembinaan semula dan juga kemahuan pesakit itu sendiri.

Sesuatu yang harus diingat ialah pilihan serta kaedah pembinaan semula ini juga bergantung kepada keadaan payudara serta rawatan dan tahap pembedahan yang dilakukan terhadap pesakit tersebut.  Malah, para pesakit juga turut mempunyai pilihan serta kaedah pembinaan semula payudara yang lain.  Antaranya ialah menggunakan kaedah pewujudan semula yang berasaskan kepada pemindahan tisu, implant payudara serta kaedah “mengembangkan” tisu (tissue expanders). Para pesakit serta wanita yang berhasrat untuk menjalani proses membaik pulih atau pembinaan semula payudara, haruslah terlebih dahulu berbincang dengan pakar bedah plastiknya mengenai pilihan-pilihan pembinaan semula yang wujud serta yang manakah adalah pilihan terbaik buat diri mereka. 

Terdapat satu rawatan mastektomi yang dikenali sebagai skin sparing mastectomy.  Apabila menjalani pembinaan semula kaedah ini, hanya bahagian peputing serta tisu payudara sahaja yang buang dan ianya digantikan semula dengan lemak serta otot daripada bahagian punggung ataupun abdomen para pesakit.  Adalah dilapurkan bahawa payudara yang dirawat serta dibaik pulih itu akan menonjolkan sifat serta tindak balas yang serupa dengan payudara sendiri asal disebelahnya.  Ini termasuklah responnya kepada aspek penuaan serta kehilangan berat badan individu tersebut.  Adalah menjadi harapan agar fakta-fakta ini akan mendorong lebih ramai pesakit barah payudara menjalani rawatan mastektomi.  Ini adalah kerana, ramai pesakit yang membuat pilihan untuk menjalani rawatan lampektomi yang mungkin ada waktunya bukanlah penyelesaian yang terbaik serta terpilih dalam menangani penyakit tersebut.
 

Bilakah Pembinaan Semula Payudara Harus Dilakukan?

Sebenarnya rawatan pembinaan semula payudara boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.  Namun, masa yang terbaik untuk merancang rawatan sedemikian adalah sebelum menjalani rawatan mastektomi. Jika mempunyai peluang untuk melakukan kedua-dua rawatan yakni mastektomi serta pembinaan semula dalam lingkup masa yang berhampiran, ianya adalah langkah yang baik kerana ia seberarnya memberikan peluang kepada pengamal perubatan untuk mengendalikan tisu yang masih berfungsi sewaktu menjalankan proses membaik pulih. Malah, kedua-dua pengamal perubatan (pakar bedah payudara dan pakar bedah plastik) akan dapat berbincang serta mengambil langkah tindakan secara teratur sewaktu menjalankan pembedahan.   

Rawatan pemulihan sewaktu menjalankan pembinaan semula mungkin dilengahkan sekiranya tidak mempunyai pakar bedah plastik, masalah logistic, kerana pesakit itu sendiri berubah fikiran untuk melengahkannya ataupun pembedahan mastektomi akan disusuli rawatan radioterapi. Ianya boleh dilengahkan tetapi sebelum membuat keputusan sedemikian, eloklah sekiranya berbincang dengan pengamal perubatan untuk mendapatkan pandangan serta nasihat yang manakah terbaik untuk diri anda.
 

Peringatan and Kesimpulan

Apabila membuat keputusan untuk menjalankan rawatan membaik pulih payudara, ia tidaklah tertumpu kepada isu penampilan diri.  Sebaliknya ia turut memberikan ketenteraman kepada jiwa serta memantapkan tahap keyakinan seseorang individu.  Dalam usaha memperolehi tahap pemulihan diri secara mutlak, selain daripada aspek fizikal, emosi juga turut memainkan peranan. Dengan menjalankan rawatan ini, mereka berupaya mengembalikan rasa keyakinan diri seperti  waktu sebelum mengalami penyakit tersebut. Selain daripada factor psikologi, ia juga akan memberi wanita pilihan yang lebih luas untuk pakaian. Untuk mereka yang mempunyai saiz payudara yang lebih besar, kehilangan sebelah payudara akan mempengaruhi imbangan badan dan simetri (symmetry).

 

Pembinaan
Semula
Payudara

Aspek ini perlu dibincangkan dengan pesakit barah payudara supaya mereka boleh menimbangkannya. Rawatan tidak semata-mata untuk membuang barah payudara sahaja tetapi untuk memulihkan pesakit kepada keadaan “normal”.

Back Home Up Next

Copyright © 2001-2008, Epromed Services Sdn Bhd
All Rights Reserved
Terms of Use