Rawatan Susulan Selepas Mengalami Penyakit Barah Payudara Pemeriksaan susulan secara kerap adalah amat penting serta perlu diberikan perhatian oleh para pesakit barah. Ini adalah untuk mengenal pasti serta melalui pemeriksaan samada ianya berulang kembali ataupun tidak. Sekiranya seseorang pesakit itu mengalami permasalahan seperti rasa kesakitan, batuk, kurang berselera untuk makan , berat badan yang kian menyusut, sakit kepala serta kepeningan, mereka haruslah mengambil langkah segera untuk berjumpa dengan doktor. Serangan ulangan ini kerap kalinya menjadikan organ seperti paru-paru, hepar dan tulang sebagai sasarannya. Ini adalah akibat daripada lanjutan serangan pada sasaran asalnya yakni payudara. Penyaringan terhadap payudara yang bersebelahan haruslah juga dilakukan secara kerap iatu dua atau setahun sekali. Lebih-lebih lagi, jika seseorang pesakit itu menjalani pembedahan lumpektomi dan bukan mastektomi (pembuangan keseluruhan payudara tersebut) payudara, maka penyaringan mamografi pada payadara asal adalah amat mustahak. Begitu jugalah dengan pemeriksaan payudara secara sendiri, ianya haruslah dilakukan secara rutin yakni setiap bulan. Kepada mereka yang menjalani rawatan pemuliharan payudara seperti lumpektomi, mereka haruslah mendapatkan maklumat serta nasihat daripada pengamal perubatan mengenai kesan akibat daripada pengambilan rawatan tersebut. Sebagai contohnya, kesan penebalan serta rasa keras pada bahagian payudara selepas rawatan radioterapi kerap berlaku. Tempat parut pembedahan sesetengah orang juga boleh menebal semasa penyembuhan. Selain daripada itu, kesan serta trauma akibat daripada mengalami penyakit serta rawatan yang diambil juga tidak harus diambil ringan. Langkah seeloknya ialah mendapatkan kaunseling daripada mereka yang pakar dalam menangani permasalahan seumpama ini. Lapuran kajian yang dilakukan tidak menunjukkan keupayaan penerusan hayat seseorang pesakit sekiranya pemantauan secara kerap dan rutin dilakukan. Pemantauan seperti menggunakan kaedah pemeriksaan radiograf (bahagian dada), ultrasound (bahagian hepar) serta imbasan tetulang untuk bahagian tulang tidaklah menyumbang serta menjamin ke arah penerusan hayat. Justeru itu, pengimbasan, pemeriksaan serta pengujian darah tidaklah dilakukan kecuali jika seseorang pesakit itu menunjukkan tanda-tanda yang berkemungkinan akibat serangan berulang penyakit tersebut. |